Sejajar dengan komitmen pentadbiran Malaysia untuk melindungi data pengguna dari sebarang aktiviti penipuan identiti – mulai hari ini (1 Disember) semua syarikat telekomunikasi mengintegrasi ciri MyDigital ID, yang mana mewajibkan pembeli kad SIM prabayar baharu untuk mengesahkan identiti mereka menerusi akses tersebut.
Langkah itu bertujuan mengukuhkan tahap keselamatan data pengguna dan merupakan tindak-balas kerajaan dalam menangani kelemahan sistem semasa. Keperluan ini tidak sekadar meningkatkan lagi penyertaan penduduk Malaysia pada perolehan MyDigital ID tetapi turut meluaskan lagi penerapan akses tersebut bersama sistem digital perkhidmatan lain.
Tidak hanya keperluan pendaftaran kad SIM baharu, menurut notis MyDigital ID penerapan MyDigital ID bersama semua syarikat telekomunikasi di Malaysia ini turut membolehkan pengguna laksana pengesahan nombor prabayar sedia ada – dengan menyemak nombor prabayar yang berdaftar di bawah MyKad adalah benar-benar milik pengguna, diikuti memberi pengguna pilihan untuk memasuki aplikasi syarikat telekomunikasi dengan MyDigital ID mereka.
Akses sedemikian tidak hanya menambahbaik tahap keselamatan tetapi turut melancarkan lagi pengalaman pengguna dalam sistem komunikasi di Malaysia.
Selain tumpuan itu, kerajaan juga merancang menetapkan setiap rakyat hanya boleh memiliki 2 kad SIM sahaja untuk setiap penyedia telekomunikasi – sebagai langkah lanjut untuk atasi isu penyamaran identiti. Susulan sejak 2017, setiap rakyat dibenarkan miliki 5 kad SIM prabayar bagi setiap syarikat telekomunikasi. Kelonggaran sedemikian telah meningkatkan risiko penyalahgunaan identiti pengguna. Berlandaskan isu itu, kerajaan optimis rancangan ini berupaya direalisasikan pada tahun 2026.