Artikel

Foodie Media Melonjak 33% Di Pasaran ACE, Mahu Laksana Pengembangan Agresif

Hari ini Foodie Media secara rasminya laksana penampilan di Pasaran ACE Bursa Malaysia – di mana pada pembukaan saham memperlihatkan lonjakan 18.3% lebih tinggi dan pada penutupan saham ia terus meningkat 33% kepada 40 sen lebih tinggi berbanding penawaran harga IPO awalnya 30 sen.

Melalui penyenaraian ini, ia secara terus mengukuhkan lagi kedudukan Foodie Media selaku penyedia media digital di pasaran Malaysia. Tumpuan kumpulan ketika ini adalah untuk menguasai perbelanjaan pengiklanan digital, selari dengan perubahan perhatian pengguna terhadap media sosial dan medium atas talian.

Sebagai perincian dengan perolehan IPO berjumlsj RM41.4 juta ini, lebih 50% hasil IPO akan digunakan untuk pengembangan operasi menerusi sasaran pengambilan hampir 200 pekerja baharu, disusuli dengan pembelian bangunan untuk studio penstriman langsung dan naiktaraf sokongan digital pada segmen media sosial.

Buat pengetahuan umum, Foodie Media ketika ini memiliki 37 jenama bersama jumlah pengikut melebihi 46 juta di pelbagai medium media sosial merentasi pasaran Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina. Dengan kepelbagaian segmen ini, kumpulan optimis dapat meningkatkan capaian digital dan menghasilkan lebih banyak kandungan inovatif pada pasaran Malaysia dan serantau.