Walaupun sehingga kini terdapat 1.1 juta kekosongan pekerjaan telah diiklankan pada laman MyFutureJobs, namun kadar pengisian jawatan di medium tersebut dilihat masih rendah.
Perihal ini jelas Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) pada sidang Parlimen hari ini, dilihat tidak selari dengan penyertaan pencari kerja biarpun akses tersebut telah disokong melalui sistem digital. Namun antara fokus yang menjadi faktor kepada isu tersebut adalah penawaran gaji yang lebih tinggi.
Ini kerana daripada jumlah kekosongan itu, didapati hanya 247,889 jawatan yang diiklankan pada tahun 2025 menawarkan gaji RM3,000 ke atas. Jumlah ini lebih rendah berbanding rekod tahun 2024. Kesuma akui dengan penawaran gaji yang lebih tinggi pastinya akan memberi motivasi kepada pencari kerja untuk meraih pendapatan yang lebih baik. Tetapi kesan penawaran ini turut menyebabkan berlakunya isu job hopping, iaitu pekerja yang seringkali bertukar pekerjaan dalam masa yang singkat.
Justeru, untuk mengurangkan jurang kemahiran dan isu job hopping, Kesuma telah bekerjasama dengan TalentCorp dan HRD Corp untuk melancarkan inisiatif latihan. Usaha mitigasi ini bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran kumpulan pekerja sedia ada, sekali gus memastikan tenaga kerja tempatan yang terhasil memenuhi permintaan pasaran dan menerima penawaran gaji yang kompetitif.