TikTok hari ini mengumumkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia untuk melindungi integriti platformnya menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 akan datang, yang dijangka pada 29 November ini.
Kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk melindungi pengguna daripada maklumat yang palsu dan tidak tepat serta menyediakan maklumat yang sahih dan boleh dipercayai mengenai proses pengundian melalui panduan carian dalam aplikasi, yang menampilkan sumber rasmi berkaitan proses pilihan raya yang berlangsung.
TikTok akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan penyemak fakta untuk memudahkan pencarian maklumat tepat tentang pengundian dan pilihan raya. Antaranya TikTok akan mengaktifkan panduan carian pada aplikasi apabila pengguna menggunakan kata kunci PRN Sabah seperi undi sabah – di mana akan mengubah hala carian pengguna kepada laman rasmi SPR untuk mengetahui maklumat lanjut berkaitan pilihan raya.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada kerjasama berterusan TikTok dengan kerajaan, organisasi masyarakat sivil, dan pemantau pilihan raya, termasuk badan bukan kerajaan seperti BERSIH, untuk memastikan dasar pilihan raya TikTok terus berkembang sebagai tindak balas kepada ancaman dan cabaran yang semakin kompleks.