Artikel

Sistem Pantau Pemberi Pinjaman Wang Akan Dibangunkan – Elak Caj Melampau

Selain penawaran skim Bayar Nanti, Pakai Lekas (BNPL) yang dilihat memberi ruang kepada penduduk negara untuk meneruskan tindakan berhutang, perluasan pinjaman di bawah kumpulan pemberi pinjaman wang berlesen (kredit komuniti) dengan caj faedah tinggi dilihat juga semakin berleluasa – memahami kebimbangan ini, kelak sebuah sistem akan dibangunkan negara untuk merekodkan transaksi pinjaman melibatkan kumpulan pemberi pinjaman dan peminjam secara masa nyata. 

Tindakan ini melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kini dalam peringkat memuktamadkan cadangan projek rintis tersebut. Mengikut notis bukan lisan Parlimen – medium ini akan dilengkapi dengan sistem pemantauan dan pembayaran digital yang bakal memperkasakan pengawal seliaan kepada pemberi pinjam wang. Dan pada masa yang sama, supaya tiada caj tambahan dikenakan kepada orang awam yang berhasrat untuk membuat pinjaman bersama dengan syarikat-syarikat pemberi pinjaman.

Namun penerapan sistem ini masih diperingkat awal dan akan diumumkan setelah mencapai pembangunan secara menyeluruh. Lebih menarik, sistem ini kelak turut akan dilengkapi skim perlindungan insurans pinjaman kepada kumpulan peminjam yang berkelayakan.