Artikel

Hampir RM2 Juta Dana Berjaya Dipulangkan Semula Kepada Mangsa Scam – Bank Negara

Hasil penguatkuasaan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), direkodkan sejumlah RM12.91 juta dana telah berjaya dirampas dan RM1.99 juta dana yang dicuri dijelaskan telah dipulangkan semula kepada mangsa penipuan atas talian kesan aktiviti scammer. 

Perkongsian ini menurut Bank Negara Malaysia pada sidang IFCTF 2025 hari ini, adalah hasil daripada usaha operasi NSRC yang berfungsi 24 jam sehari dalam menerima aduan, menjejaki pesalah, membekukan akaun terlibat dan memulihkan semula kerugian dana yang didepani rakyat Malaysia.

Setakat suku pertama 2025 sahaja PDRM telah merekodkan sekitar 12,110 kes penipuan atas talian diseluruh negara dengan kerugian mencapai RM573.7 juta. Keadaan ini secara jelas menunjukkan aktiviti scammer kekal meluas biarpun pelbagai tindakan kesedaran telah dilaksanakan. Untuk melandaikan tekanan tersebut, BNM menyeru institusi kewangan mengukuhkan tahap integriti dan meningkatkan usaha menjejaki aktiviti jenayah ini.

Dengan pendekatan secara bersama ini, ia akan membantu menambahbaik tahap kesejahteraan hak pengguna dan tahap keselamatan pada khidmat kewangan di pasaran.