Artikel

Lazada Manfaat AI Lazzie: Sasar 50% Lonjakan Pesanan Sempena 11.11

Selari dengan kadar penembusan internet mencecah 98% – Lazada Malaysia kini memanfaatkan kelebihan tersebut, apabila hari ini secara rasminya melancarkan kempen jualan mega 11.11 di pasaran Malaysia.

Dengan fokus jualan ini, Lazada kini dalam usaha membina ekosistem e-dagang yang lebih pintar dan inklusif, di mana setiap penjual, besar atau kecil, mempunyai peluang dan infrastruktur untuk berkembang.

Matlamat ini antaranya perlihatkan sokongan ciri pintar baharu seperti AI Lazzie. Lazada optimis ciri ini berupaya memacu pertumbuhan jualan berikutan memaparkan prestasi yang kukuh pada jualan 9.9. AI Lazzie dilihat membantu meningkatkan pesanan sebanyak 36% di samping turut melonjakkan aliran interaksi sekitar 34%. Kelebihan ini dijangka turut akan membantu melonjakkan jualan mega 11.11 ini dengan sasaran 50% sokongan kenaikan.

Selain akses AI Lazzie, Lazada Malaysia turut menampilkan beberapa sokongan pintar yang lain pada ekosistem e-dagang mereka antaranya:

  • Ejen Pemulangan: Mengurus proses pemulangan dan perkhidmatan selepas jualan dengan lebih pantas serta adil
  • Ejen Logistik: Mengemas kini maklumat penghantaran secara masa nyata supaya pelanggan sentiasa mengetahui status penghantaran pesanan mereka
  • Ejen Penyenaraian Produk: Memastikan halaman produk lebih teratur, jelas dan mudah dilayari
  • Ejen Pemasaran: Menyusun tawaran yang disesuaikan dengan citarasa, masa dan tabiat pembelian pelanggan.

Gabungan ini menjadikan Al bukan sekadar sokongan teknologi di belakang tabir, tetapi rakan sokongan pintar yang menggerakkan setiap klik, menjadikan pengalaman membeli-belah 11.11 di Lazada lebih lancar, selamat, dan menguntungkan bagi pengguna Malaysia.