Artikel

Pengendali Aquaria KLCC Sasar Raih RM114.3 Juta Menerusi IPO – Perluas Jejak Akuarium Di Serantau

Pemaju Aquaria KLCC iaitu Aquawalk Group kini dalam tindakan untuk mengumpul RM114.3 juta menerusi langkah tawaran awam permulaan (IPO) – menjelang penyenaraian kumpulan pada 19 November 2025 ini di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.

Hasil perolehan tersebut mengikut laporan akan digunakan untuk perbelanjaan modal (RM89.77 juta), penambahbaikan sistem teknologi maklumat (RM3 juta), modal kerja (RM14.94 juta) dan perbelanjaan penyenaraian (RM7 juta).

Di mana dana ini akan membantu kumpulan meluaskan jejak perkhidmatan mereka pada sektor pelancongan serantau – antaranya perkembangan di Surabaya, Indonesia dengan pembukaan akuarium baharu dan Kota Kinabalu, Sabah pula perancangan membuka oceanarium dalam tempoh 3 tahun mendatang. Selain pasaran itu, perluasan khidmat mereka bentuk, membina dan mengendalikan akuarium di seluruh dunia turut akan dilaksanakan.

Buat pengetahuan umum selain Aquaria KLCC, Aquawalk Group turut memiliki dan mengendalikan Aquaria Phuket dan mempunyai 40% kepentingan pada Jakarta Aquarium dan Safari.


Untuk pasaran Malaysia, diperjelaskan kelak Aquaria KLCC akan memperkenalkan segmen pameran penguin Rockhopper baharu pada pertengahan 2026 – di mana penambahan ini akan melibatkan peruntukan bernilai RM7 juta. Selain itu, langkah naiktaraf kemudahan akuarium berusia 20 tahun Aquaria KLCC itu turut akan dijalankan dengan peruntukan RM2 juta. Sementara Aquaria Phuket pula akan meraih peruntukan RM20.7 juta untuk pembangunan tarikan baharu pada tempoh yang sama.