Tarikh 26 Oktober 2025 menjadi tarikh simbolik buat Malaysia apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump merealisasikan janji beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dianjurkan Malaysia pada minggu ini. Kehadiran Trump telah memperlihatkan beberapa agenda utama dunia dicapai, merangkumi perjanjian damai bersejarah antara Thailand dan Kemboja, serta pemuktamadan perjanjian pengukuhan rantaian bekalan mineral kritikal bersama Malaysia.
Meskipun tiada perubahan ketara yang dicapai dalam Perjanjian Timbal Balas AS-Malaysia dari segi kadar tarif segera yang lebih rendah, namun dokumen bersama yang ditandatangani tersebut tetap penting. Ia secara rasmi mewujudkan pendekatan rundingan yang lebih stabil serta rangka kerja yang lebih jelas dan kukuh untuk menyelesaikan isu-isu perdagangan dan pelaburan yang tertangguh. Selari dengan komitmen itu, mari Rnggt perincikan perbezaan sebelum dan selepas lawatan Trump ke Malaysia~
Tarif AS: Tiada Perubahan, Namun Malaysia Terima Pengecualian Bernilai $5.2 Bilion
Pastinya ramai pihak memiliki tanggapan, kehadiran Trump akan membawa perubahan pada nilai tarif import ke atas barangan Malaysia, ternyata tidak. Malaysia kekal dikenakan tarif import 19% sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini.
Namun elemen penting yang dicapai adalah pengecualian tarif 0% yang akan dilaksanakan ke atas sebilangan barangan dan industri tertentu. Pengecualian ini melibatkan nilai eksport sebanyak $5.2 bilion dengan 1,711 produk Malaysia, menurut pengumuman Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul. Pengecualian ini memastikan produk kritikal Malaysia dapat terus bersaing di pasaran AS tanpa menanggung kos tarif yang tinggi.

Malaysia Kekal Belanja, Labur Sekitar $242.7 Bilion Bersama AS
Seperti yang Rnggt fahami, walaupun terdapat sejumlah 1,711 barangan Malaysia akan berdepan pengecualian tarif 19% namun Malaysia kekal perlu membelanjakan dan laksana pelaburan sekitar $242.7 bilion bersama AS.
Komitmen yang memakan masa 5 hingga 10 tahun ini akan memperlihatkan kebersamaan kedua negara dalam melunaskan persetujuan perdagangan. Sebahagian besar daripada jumlah ini datang daripada tiga komitmen utama. Yang paling besar ialah pembelian komponen teknologi tinggi seperti semikonduktor dan peralatan pusat data bernilai kira-kira $150 bilion oleh syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di Malaysia. Selain itu, terdapat komitmen untuk melabur $70 bilion dalam bentuk dana modal di AS. Baki komitmen termasuk pembelian aset strategik seperti pesawat Boeing ($19 bilion) untuk syarikat penerbangan Malaysia, dan kontrak jangka panjang untuk membeli Gas Asli Cecair (LNG) bernilai $3.4 bilion setiap tahun daripada AS.
Mengapa komitmen besar ini dilihat sebagai tindakan wajar? Dengan menyetujui perbelanjaan dan pelaburan ini, Malaysia berjaya mendapatkan jaminan penting dari AS. Jaminan utama ialah AS bersetuju untuk mengekalkan tarif ke atas produk Malaysia pada kadar yang lebih rendah, malah memberikan pengecualian tarif 0% ke sebilangan barangan eksport utama Malaysia. Ini melindungi berbilion ringgit nilai eksport negara dan memastikan produk kritikal seperti semikonduktor, minyak sawit, dan produk getah dapat terus dieksport ke pasaran AS tanpa gangguan.

AS Terus Raih Kelebihan: Malaysia Jamin Tidak Sekat, Kenakan Kuota Ke Atas Eksport Mineral Kritikal
Persetujuan Malaysia untuk tidak menyekat atau mengenakan kuota ke atas eksport mineral kritikal dan unsur nadir bumi (REE) ke AS ini memberikan kelebihan strategik jangka panjang yang ketara kepada AS. Keuntungan ini terletak pada aspek keselamatan rantaian bekalan AS. Semua pihak perlu fahami mineral kritikal seperti REE adalah komponen penting dalam pembuatan teknologi pertahanan canggih, kenderaan elektrik (EV), elektronik, dan turbin angin. Dengan menjamin akses berterusan dan tanpa halangan kepada sumber dari Malaysia, AS secara langsung mengurangkan kebergantungan kritikalnya kepada negara lain, terutamanya China yang kini mendominasi rantaian bekalan global bagi kebanyakan mineral ini.
Secara ringkas, AS memperoleh kepastian bekalan mineral kritikal untuk mengukuhkan pertahanan dan peralihan tenaga hijaunya, yang merupakan objektif strategik utama mereka. Malaysia, sebaliknya menggunakan jaminan bekalan ini sebagai kad rundingan untuk menarik kemasukan pelaburan berteknologi tinggi dari AS dan mengelakkan ancaman peningkatan tarif yang lebih tinggi.

Kesimpulannya, lawatan Trump yang disusuli dengan beberapa persetujuan baharu ini telah mengubah dinamik perdagangan bersama Malaysia, beralih daripada isu tarif yang bersifat defensif kepada pertimbangan yang lebih mengutamakan kepentingan bersama. Namun, perlu diakui bahawa Malaysia perlu membayar ‘harga’ yang cukup besar – melalui komitmen perbelanjaan dan pelaburan bernilai bilion dolar, semata-mata untuk memastikan kestabilan pasaran dan agar eksport utama tidak tergugat daripada sebarang ancaman tarif kritikal. Persoalannya, adakah pertukaran strategik ini benar-benar menjamin kelebihan jangka panjang buat Malaysia, atau adakah ia hanyalah satu usaha mahal untuk mengelakkan malapetaka perdagangan yang lebih buruk?