Artikel

Malaysia Berpotensi Kutip RM2.1 Bilion Setahun Hasil Cukai Karbon – Bermula 2026

Malaysia berupaya jana sekitar RM2.1 bilion setahun, hasil daripada tindakan pengenaan cukai karbon bermula tahun 2026. 

Seperti yang umum ketahui, bermula tahun hadapan Malaysia akan mula mengenakan cukai karbon ke atas pasaran negara merangkumi sektor besi, keluli dan tenaga. Hasil tindakan itu, menurut laporan bersama firma penyelidikan MBSB Research menjangkakan sekitar 1.1% daripada keseluruhan hasil cukai berpotensi diraih dari cukai karbon untuk fasa pertama iaitu antara 2026 sehingga 2030.

Sebagaimana yang dimaklumkan pada pembentangan Belanjawan 2026, pelaksanaan cukai ini turut akan diselaraskan bersama Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara, yang akan digubal tidak lama lagi.

Dengan insiatif sedemikian, ini akan menjadi antara langkah utama Malaysia untuk menangani isu perubahan iklim dan menggalakkan pelaburan dalam sumber tenaga boleh diperbaharui bagi merealisasikan peralihan ke arah ekonomi lebih lestari. Berlandaskan komitmen itu, kutipan cukai ini berpotensi meningkat secara berkala dengan kenaikan kepada RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun selepas 2030.