Artikel

Timor-Leste Rasmi Jadi Anggota Ke-11 ASEAN

Penantian panjang sejak 2011 kini membuahkan hasil apabila Timor-Leste hari ini secara rasminya sah menjadi anggota penuh ASEAN yang ke-11. Kemasukan bersejarah ini disahkan melalui pemeteraian Deklarasi Kemasukan semasa upacara perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Pengumuman ini bukan sahaja melengkapkan peta geografi Asia Tenggara dalam blok tersebut, malah menandakan pengembangan pertama ASEAN dalam tempoh lebih 20 tahun.

Dengan penyertaan  Timor-Leste ini ia dijangka membawa manfaat besar dan meluas kepada rantau ini. Bagi negara itu sendiri, ia membuka lembaran baharu untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dan meluaskan peluang dalam pelbagai arena penting seperti pelaburan serantau, pembangunan industri, pendidikan, dan ekonomi digital. Keahlian ini juga memberikan platform diplomatik yang penting untuk keselamatan dan kestabilan.

Dalam konteks yang lebih luas, kemasukan ahli baharu ini secara signifikan menguatkan lagi pemusatan dan perpaduan kumpulan ASEAN. Ia jelas menunjukkan komitmen blok ASEAN dalam meningkatkan daya saing secara bersama.

Melalui pencapaian ini, Perdana Menteri Timor-Leste menyifatkannya sebagai “impian yang menjadi kenyataan” bagi seluruh rakyat Timor-Leste. Dengan barisan 11 negara anggota yang kini lengkap, ASEAN bersedia untuk mengemudi masa depan serantau dan global, memulakan fasa baharu sebagai sebuah komuniti yang lebih padu, inklusif, dan berdaya tahan.