Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini memperlihatkan aliran trafik yang positif apabila meningkat 7.75% kepada rekod 16.3 juta pergerakan penumpang pada suku ketiga 2025. Prestasi ini sekaligus menunjukkan berlakunya pertambahan 1.2 juta penumpang secara tahunan berbanding 2024.
Data lebih menyeluruh, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan aliran trafik di operasi lapangan terbang seluruh Malaysia menunjukkan kenaikan 8.1% kepada 26.9 juta penumpang untuk suku ketiga 2025. Kedudukan ini didorong 8 syarikat penerbangan baharu yang telah memulakan operasi di Malaysia pada tahun ini – sekaligus mengukuhkan kedudukan perjalanan antarabangsa negara.
Setakat 9 bulan tahun ini, terdapat 75 syarikat penerbangan sedang beroperasi di Malaysia. Kedudukan ini dijangka akan terus melonjak menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.