Berlandaskan penilaian pada kempen Klik Sebelum Gerak yang dimulakan September lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) menjelaskan kini lebih 90% pemandu dan penumpang hadapan mematuhi keperluan pemakaian tali pinggang keledar dalam kenderaan. Namun sebaliknya sekitar 15% sahaja penumpang belakang dilihat mematuhi keperluan tersebut.
Penilaian di bawah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) ini menurut notis Parlimen memperincikan terdapat 74 kemalangan maut pada tahun ini membabitkan kanak-kanak susulan tidak menggunakan tali pingang keledar dengan 31 kes (parah) dan 51 kes (cedera ringan).
Maka ke arah perluasan kepentingan etika tali pinggang ini, MOT melalui JPJ dan MIROS akan menambah jaringan pendekatan komunikasi massa, pendidikan komuniti sekolah serta penyebaran mesej keselamatan di platform digital dan media sosial.
Tindakan penguatkuasaan yang sama turut dimaklumkan akan diperluaskan kepada bas ekspres dan bas persiaran. Adanya usaha secara berkala ini ia sekaligus akan membantu negara meningkatkan tahap pematuhan penggunaan tali pinggang keledar dan melandaikan kesannya pada kes kemalangan di masa hadapan.