Artikel

Ketibaan Pelancong Ke Malaysia Melonjak 14.5% – Kini Rekod 28.2 Juta Individu

Kemasukan pelancong ke Malaysia kini dilihat terus memaparkan lonjakan apabila tempoh Januari sehingga Ogos 2025 memperlihatkan peningkatan 14.5% kepada 28.24 juta individu berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024 iaitu sekitar 24.66 juta.

Dalam tempoh itu, didapati Singapura kekal jadi sumber utama ketibaan pelawat asing dengan 14 juta orang meningkat 18.1%, diikuti China dengan 3.3 juta pelawat (naik 27.5%), Indonesia (2.9 juta pelancong), Thailand (1.6 juta pelancong) dan India (1.1 juta pelancong).

Melihat pada prestasi ini, Malaysia optimis tahun hadapan negara berupaya meraih kemasukan sekitar 47 juta pelancong selaras dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026. Sasaran itu menurut jangkaan pentadbiran akan meliputi kemasukan pelancong dari pasaran Asia Tengah Timur Tengah, ASEAN, Eropah dan Oceania.