Genting Bhd hari ini mengumumkan cadangan tawaran pengambilalihan bersyarat secara sukarela bagi membeli semua saham anak syarikatnya, Genting Malaysia Bhd (GENM). Langkah ini bertujuan untuk menswastakan dan mengeluarkan penyenaraian GENM daripada Bursa Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada hari ini, Genting Bhd menawarkan harga RM2.35 seunit saham kepada pemegang saham minoriti GENM untuk tindakan tersebut. Nilai keseluruhan urus niaga ini dianggarkan mencecah RM6.74 bilion.
Harga tawaran RM2.35 itu mengikut laporan dijelaskan mewakili premium hampir 10% berbanding harga penutup saham GENM sebanyak RM2.14 pada Jumaat lalu, sebelum dagangan saham digantung bagi pengumuman korporat ini.
Dengan pengambilalihan ini – ia dijangka akan mengukuhkan profil kewangan kumpulan. Antara faktor utama adalah sokongan terhadap bidaan kumpulan Genting untuk membangunkan resort bersepadu di New York, Amerika Syarikat, yang dianggarkan bernilai AS$5.5 bilion.
Dengan kawalan penuh ke atas Genting Malaysia, Genting Bhd akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan kekuatan kewangan dan jaringan kumpulan Genting, yang seterusnya akan meningkatkan profil kewangan keseluruhan Genting Malaysia.