Bermula hari ini, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke atas kumpulan pekerja asing dikuatkuasakan secara mandatori dengan kadar 2%.
Peluasan liputan caruman ini menurut notis KWSP merangkumi semua pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia. Langkah ini bertujuan menangani jurang dalam liputan keselamatan sosial dengan menyokong amalan pasaran buruh yang lebih adil serta menyediakan akses kepada simpanan persaraan untuk pekerja daripada semua kewarganegaraan.
Maka untuk memastikan tiada kumpulan pekerja terkecuali, KWSP telah bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk meningkatkan integrasi data dan sistem bagi membolehkan perkongsian maklumat secara selamat melibatkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian dicapai.
Semua pihak tidak perlu khuatir, pendaftaran pekerja asing melibatkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian – dijelaskan dilaksanakan secara automatik tanpa perlu hadir ke pejabat KWSP. Namun bagi pemegang pas lain, pendaftaran dan pengemaskinian maklumat boleh dilaksanakan melalui pejabat KWSP seperti biasa. Di mana pekerja disarankan melengkapkan pendaftaran sebagai ahli KWSP dengan membuat pengemaskinian rekod cap ibu jari mulai Januari 2026 di pejabat KWSP berhampiran.