Artikel

FedEx Labur RM46 Juta – Bina Pusat Logistik Dan Kargo Bersepadu Di Pulau Pinang

Setelah menapak lebih 30 tahun pada pasaran Malaysia – FedEx Corp kini terus mengukuhkan lagi jejak perkhidmatan mereka dengan melabur RM46 juta bagi membangunkan pusat logistik dan kargo bersepadu baharu di Pulau Pinang.

Hab logistik ini akan dibina di Penang International Logistics Aeropark (PILA), bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Perkongsian yang dicapai bersama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sekaligus menjadikan FedEx antara syarikat logistik global pertama yang melabur di PILA.

Adanya akses ini ia dijangka dapat meluaskan capaian pasaran Malaysia kepada permintaan antarabangsa. Kedua pihak menyasarkan pusat logistik dan kargo ini berupaya siap menjelang akhir 2028 kelak. Dijelaskan hab ini akan melibatkan keluasan 100,000 kaki persegi pada kawasan 42 hektar.