Artikel

Maybank: Penetapan Semula Kata Laluan Maybank2u Kini Hanya Boleh Dilakukan Di Aplikasi MAE

Maybank kini memaklumkan terdapat kemaskini baharu yang perlu diketahui oleh kumpulan pengguna individu. Bermula 18 September (hari ini), pengguna yang menggunakan Maybank2u boleh menetapkan semula kata laluan Maybank2u hanya menerusi aplikasi MAE sahaja, tidak lagi di laman web Maybank2u.

Jelas notis Maybank ini, tindakan bersepadu itu bertujuan meningkatkan pengalaman perbankan pengguna pada perkhidmatan semasa dan tambahbaik proses penetapan semula kata laluan di bawah satu platform yang lebih selamat. Perlu difahami, makluman ini hanya untuk pengguna individu dan pemilik tunggal akaun sahaja. Ini bermakna tindakan tersebut tidak melibatkan perubahan untuk pengguna akaun M2UBiz dan M2E. 

Proses kemaskini kata laluan itu menurut perincian Maybank – boleh dilaksanakan dengan merujuk kepada aplikasi MAE di bahagian Tetapan > Keselamatan > Ubah Kata Laluan. Namun jika para pengguna lupa akan kata laluan semasa maka perlu merujuk kepada bahagian Forget Password dan selanjutnya perlu laksana pengesahan Secure2u. Di bawah pengesahan itu, kumpulan pengguna perlu sertakan maklumat diri dan gambar untuk menyelesaikan penetapan semula kata laluan.

Bagaimana Jika Lupa PIN MAE atau Hilang Peranti?

Akan tetapi jika pengguna berdepan masalah seperti kehilangan peranti atau terlupa PIN MAE, maka pengguna boleh menetapkan PIN M2U sementara melalui ATM Maybank dan cawangan berdekatan. Perolehan PIN M2U sementara ini akan menggunakan kad debit, kad kredit pengguna atau perolehan Nombor Akses di mana-mana cawangan berdekatan. Dan perlu ketahui, PIN M2U sementara ini hanya sah selama 48 jam sahaja. Tidak hanya itu jika proses pengesahan akaun berdepan kegagalan untuk 3 percubaan maka akaun Maybank2u pengguna akan disekat.


Oleh itu, untuk memastikan situasi ini tidak berlaku ke atas pengguna – semua pihak perlu ikuti setiap langkah penetapan semula kata laluan dengan baik tanpa perlu membawa kepada tindakan PIN sementara.