Artikel

CIMB Umum Untung RM3.86 Bilion – Kini Dalam Persediaan Perkenal Aplikasi Perniagaan Baharu, OCTO Biz

CIMB Bank tidak lama lagi akan melancarkan aplikasi perbankan perniagaan baharu iaitu OCTO Biz pada pasaran Malaysia dan Indonesia menjelang suku keempat kelak. Menerusi pengenalan itu, dijangka lebih banyak perluasan akses perniagaan dapat direalisasikan bersama potensi pelaburan baharu dengan pengguna serantau.

Makluman yang dikongsikan pada laporan sidang prestasi suku kedua 2025 perbankan itu turut memperincikan sepanjang separuh pertama 2025 ini, menunjukkan CIMB meraih untung bersih berjumlah RM3.86 bilion di mana menurun 1.03% berbanding tempoh yang sama pada 2024 iaitu berjumlah RM3.9 bilion. 

Persekitaran ini antaranya didorong akan beberapa siri tindakan pemotongan kadar faedah dan pengurusan aset-liabliti yang aktif dalam membantu CIMB melaras kembali kos perbelanjaan. Malah tekanan perkembangan tarif global juga menjadi antara faktor pada perubahan prestasi tersebut.

Berdasarkan perincian, suku kedua 2025 memperlihatkan CIMB untung bersih kepada RM1.89 bilion iaitu merosot 3.8% berbanding tempoh sebelumnya.

Secara menyeluruh CIMB kekal optimis akan prospek makroekonomi dan pertumbuhan operasi pada spearuh kedua 2025 kelak susulan perkembangan akan disokong hasil pengurangan kadar faedah global yang dijangka berlaku secara berperingkat. Biarpun kekal positif pada perkembangan operasi di pasaran hadapan, pihaknya akan kekal berwaspada ke atas isu geopolitik semasa dan ketidaktentuan berkaitan tarif pada aliran ekonomi global.