Artikel

DuitNow QR Kelak Boleh Diguna Di Lebih 100 Juta Kedai Seluruh Dunia – Menerusi Sokongan Alipay+

Pembayaran secara imbasan kod QR kini tidak lagi asing dalam kalangan pasaran Malaysia, tetapi ia dilihat semakin meluas pada pasaran antarabangsa. Susulan akses DuitNow QR kelak diumumkan tersedia pada lebih 100 juta kedai di seluruh dunia menerusi sokongan bersama Alipay+. 

Perluasan titik akses DuitNow QR ini membolehkan pengguna antaranya berbelanja di China, Thailand, Singapura dan diperluaskan secara berperingkat melibatkan pasaran seperti Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Filipina dan Macau.

Perluasan akses bersama Payments Network Malaysia (PayNet) ini telah pun dicapai pada acara MyFintech Week 2025 yang berlangsung pada pertengahan bulan ini. Dengan kebersamaan itu ia sekaligus turut mengukuhkan kedudukan Malaysia pada perkongsian pembayaran digital rentas sempadan di pasaran antarabangsa.

Untuk makluman, kerjasama ini adalah lanjutan daripada kesepakatan awal yang dicapai pada Ogos 2023 antara PayNet dan Ant International. Berdasarkan komitmen itu, untuk pasaran Malaysia – kini Alipay+ membolehkan pengguna daripada 15 rakan pembayaran antarabangsa mengimbas dan membayar di lebih 2.6 juta peniaga DuitNow QR di seluruh Malaysia.