Bertindak balas dengan matlamat Malaysia untuk tingkatkan ekosistem digital, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini permudahkan urusan percukaian dengan perkenalkan sistem e-Kompaun.
Sistem ini untuk makluman telahpun boleh diakses oleh kumpulan majikan dan pembayar cukai syarikat melalui portal MyTax sejak 30 Jun 2025 lalu. Menerusi e-Kompaun ini majikan dan pembayar cukai boleh menyemak, mengemukakan permohonan serta membuat bayaran kompaun secara kendiri dalam talian bagi kegagalan mematuhi peruntukan susulan lewat laksana bayaran potongan cukai bulanan (PCB) atau kegagalan kemuka anggaran cukai syarikat.
Maka dengan sistem ini, akses semakan jadi lebih mudah dan majikan serta pembayar cukai terlibat akan meraih perincian bil kompaun setelah semakan dilaksanakan – tanpa perlu hadir secara fizikal pada cawangan LHDN. Usaha ini sekaligus akan membantu negara menambahbaik pematuhan cukai dan merealisasikan agenda Malaysia Digital 2030.