Artikel

Maybank Islamic, Perodua Perkenal Pembiayaan Fleksibel Patuh Syariah Pertama – Di Malaysia

Bagi meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih lancar bersama pengguna – Maybank Islamic dan Perodua kini umum kerjasama menawarkan pelan pembiayaan fleksibel patuh Syariah pertama di negara ini, iaitu Perodua Flexiplan yang dikuasakan oleh Maybank Islamic MyImpact Drive Financing-i.

Di bawah pelan ini pelbagai inisiatif menarik disertakan antaranya pada tahun ke-5 pelan ini, pelanggan mempunyai pilihan untuk menukar kenderaan Perodua sedia ada kepada yang baharu, dengan nilai tukar beli yang terjamin digunakan untuk mengurangkan bayaran pendahuluan dan memulakan semula tempoh 5 tahun tersebut.

Pendekatan lain, pelanggan juga boleh memilih untuk mengekalkan kenderaan sedia ada dengan melunaskan baki tertunggak atau melanjutkan pembiayaan sehingga empat tahun lagi di bawah pelan bayaran baharu.

Malah pelan ini turut menambahbaik ekosistem penyelesaian patuh Syariah untuk pemilik kenderaan Perodua, ini termasuklah dibawah Perodua Total Protect Plus iaitu perlindungan takaful komprehensif yang dilindungi oleh Etiqa, dilengkapi dengan perlindungan tambahan bencana bernilai RM5,000, serta Takaful Perlindungan Baki Pinjaman (Credit Reducing Term Takaful) sebagai lapisan perlindungan tambahan untuk pelanggan.

Secara menyeluruh terdapat 4 model kenderaan di bawah Perodua terlibat pada pelan ini antaranya Myvi, Axia (kecuali Axia E), Ativa dan Aruz. Selain makluman itu, Perodua dan Maybank Islamic turut menyatakan kebersamaan ini kelak akan diperluas kepada pemilikan kenderaan elektrik (EV) Perodua.