Dalam tempoh terdekat, pentadbiran negeri Selangor akan memaklumkan penguatkuasaan tarikh bagi tindakan wajibkan pemasangan defibrilator luaran automatik (AED) di semua bangunan baharu di negeri ini.
Jelas Exco Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin pada laporan, setelah keperluan ini dikuatkuasakan maka tindakan pemasangan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat untuk bangunan sedia ada mengikut keutamaan semasa. Biarpun begitu, pentadbiran negeri amat menggalakkan pemilik bangunan, badan pengurusan dan pertubuhan bukan kerajaan di Selangor menyokong inisiatif penyediaan AED di premis sedia ada dengan lebih awal.
Tindakan ini penting bagi melandaikan jangkaan pengurangan kadar hidup sehingga 10% bagi setiap minit yang berlalu tanpa pertolongan cemas. Dengan penerapan AED, Selangor melihat ia antara inisiatif yang dapat membantu orang awam meningkatkan kebarangkalian kadar hidup dan meningkatkan kesedaran pertolongan cemas.

Penguatkuasaan ini dijelaskan akan dijalankan bersama pelbagai pihak berkepentingan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Secara menyeluruh, AED ialah peranti penyelamat yang membantu pesakit berdepan serangan jantung secara tiba-tiba. Alat ini direka untuk menganalisis degupan jantung dan jika perlu melalui penggunaan kejutan elektrik, ia dapat membantu memulihkan semula degupan jantung pesakit kepada tahap normal.