Jumlah penyertaan arena e-dagang di Malaysia kini dilihat semakin rancak apabila setakat 31 Julai 2025, dianggarkan sekitar 4.65 juta penjual negara telah menjalankan perniagaan mereka menerusi platform e-dagang utama seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop.
Perkongsian data lisan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada portal Parlimen ini menjelaskan jumlah itu memberi cerminan kepada kadar keyakinan peniaga ke atas platform pasar dalam talian atau e-dagang semakin membrangsangkan. Selain memberi akses kepada pasaran yang lebih luas, para peniaga juga akan meraih penjimatan pada kos operasi di samping memiliki sokongan sistem logistik dan pembayaran yang lebih baik kepada kumpulan pengguna.
Perkembangan e-dagang juga dapat dilihat pada data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mencatatkan pendapatan e-dagang Malaysia pada suku pertama adalah sekitar RM311.1 bilion. Nilai ini secara asasnya memaparkan peningkatan tahunan sebanyak 3.4% berbanding tahun 2024. Prestasi ini sekaligus menunjukkan permintaan jualan e-dagang di Malaysia kekal konsisten memaparkan peningkatan secara berkala pada setiap tahun.

Buat pengetahuan umum, rekod data ini menurut KPDN dijelaskan adalah tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2024 yang menuntut penyedia e-dagang untuk menyimpan dan menyelenggara rekod pembekal pasar dalam talian bagi tempoh 3 tahun.