Artikel

Hospital, Klinik Swasta Gagal Patuh Papar Harga Ubat – Akan Mula Didenda Pada 1 Oktober Ini

Mana-mana fasiliti kesihatan swasta yang gagal mempamerkan harga ubat-ubatan kepada pesakit, ditegaskan akan berdepan denda mulai 1 Oktober 2025 ini. Tindakan ini bertujuan untuk memastikan ketelusan harga dilaksanakan, di samping memastikan hak pengguna Malaysia tidak terjejas dek pengenaan caj yang tidak munasabah.

Buat masa ini,  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan penguatkuasaan dalam bentuk pendidikan sehingga 30 September ini.

Namun bermula 1 Oktober 2025, berdasarkan laporan MalayMail denda akan mula dikeluarkan ke atas fasiliti kesihatan swasta yang masih ingkar dalam melaksanakan pemaparan harga ubat tersebut. Langkah pengenaan kompaun ini dijelaskan untuk memberi peringatan kepada pihak yang terlibat akan kepentingan tindakan ini sebelum ia dikuatkuasakan secara penuh pada 1 Januari 2026 kelak.

Untuk maklumkan, pelaksanaan ini adalah tertakluk di bawah Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Pelabelan Harga Ubat) 2025. Dan berdasarkan pemantauan semasa ke atas 842 fasiliti merangkumi klinik perubatan dan pergigian, hospital swasta dan farmasi komuniti – sekitar 57% daripada jumlah ini telahpun mematuhi keperluan paparan harga ubat dengan telus.