Artikel

Kenderaan Perdagangan Tiada Alat Kawalan Had Laju, Tidak Boleh Berada Di Jalan Raya

Bermula Oktober ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) secara berperingkat akan menguatkuasakan larangan ke atas kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi sistem Speed Limitation Device (SLD) untuk berada di jalan raya.

Langkah ini penting menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke bagi mengawal isu kelajuan melibatkan kenderaan berat dan sekaligus dapat mengurangkan risiko kemalangan maut khususnya kenderaan seperti bas dan lori.

Sebagai perincian fasa pertama akan melibatkan pengesahan fungsi SLD pada semua kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Januari 2015. Diikuti fasa kedua pula akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026 melibatkan pemasangan SLD dalam Electronic Control Unit (ECU) bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina sebelum 1 Januari 2015.

Sementara fasa ketiga pula akan dikuatkuasakan pada 1 Julai 2026 – perlihatkan pemasangan SLD secara retrofit dengan pengesahan JPJ ke atas mana-mana kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi sistem SLD.

Secara menyeluruh, pelaksanaan SLD ini terpakai ke atas semua kenderaan perdagangan merangkumi kenderaan barangan Berat Dengan Muatan (BDM) lebihi 3,500kg dan kenderaan penumpang dengan BDM lebihi 5,000kg. Dengan usaha ini ia secara langsung akan menambahbaik tahap keselamatan perjalanan pengguna lebuh raya di Malaysia. Buat pengetahuan umum, antara negara yang telah mewajibkan keperluan SLD ini adalah seperti negara Eropah dan Singapura.

Selain pelaksanaan itu, terdapat juga cadangan lain yang turut dikemukakan untuk tambahbaik keselamatan kenderaan di Malaysia – antaranya pemasangan Automatic Emergency Braking (AEB), Electronic Stability Control (ESC), Real Time Monitoring System dan kotak hitam untuk kenderaan komersial.