Artikel

Khazanah Teroka Laksana Perkongsian AI – Bersama Dana Mahsul Perancis, Itali

Bertepatan dengan perkembangan ekonomi digital semasa dan usaha Malaysia dalam meningkatkan kualiti daya saing di pasaran global – Khazanah Nasional kini sedang meneroka potensi kerjasama dengan dana mahsul (SWF) Perancis dan Itali pada perkongsian meibatkan arena kecerdasan buatan (AI).

Tinjauan potensi perkongsian ini telah dizahirkan pihaknya selaku sebahagian delegasi Malaysia pada lawatan rasmi BRICS di Brazil minggu ini.

Peluang ini dilihat berupaya diteliti susulan kerjasama dua hala antara negara tersebut memaparkan pengukuhan pada aliran perdagangan. Buat pengetahuan umum berdasarkan rekod 2024, nilai perdagangan bersama Itali, Perancis dan Brazil telah mencatatkan sekitar RM50.91 bilion (AS$11.14 bilion).


Apa itu Dana Mahsul?

Dana Kekayaan Berdaulat atau Dana Mahsul (SWF) ini untuk makluman adalah medium dana pelaburan yang dimiliki oleh sesebuah kerajaan. Di mana dana ini akan digunapakai pada tindakan pelaburan dalam kewangan mahupun aset nyata seperti bon, saham, hartanah serta pelaburan alternatif melibatkan dana ekuiti persendirian atau dana lindung nilai.

Menerusi peranan itu, dana ini tidak sekadar dilaburkan pada peringkat tempatan dan global tetapi turut bertindak selaku medium simpanan jangka masa panjang yang akan dimanfaatkan untuk masa hadapan – merangkumi sokongan bajet negara dan pengukuhan program sosial.

Setakat ini sahaja, terdapat lebih 90 SWF tersedia di seluruh dunia termasuklah di Malaysia seperti Khazanah Nasional yang merupakan dana kekayaan berdaulat Kerajaan Malaysia.