Artikel

Separuh Pertama 2025: Inflasi Terkawal Namun Kos Makanan, Kesihatan Terus Bebani Rakyat Malaysia

Data rasmi menunjukkan inflasi keseluruhan di Malaysia kekal terkawal sepanjang separuh pertama tahun 2025, namun realitinya di dapur dan meja makan rakyat menceritakan kisah yang berbeza. Bagi kebanyakan isi rumah di negara, kos keperluan yang dikategori asas terus melonjak, menimbulkan kebimbangan serius mengenai kuasa beli dan kualiti hidup di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang dikatakan stabil.

Inflasi VS Inflasi Makanan – Jauh Berbeza

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), inflasi keseluruhan (diukur melalui Indeks Harga Pengguna atau IHP) kekal pada tahap yang sederhana. Namun, apabila kita meneliti komponen makanan, angkanya berbeza. Pada Mei 2025, inflasi harga makanan mencatatkan 2.1% tahun ke tahun, walaupun merupakan kadar terendah sejak September tahun lalu, ia masih melebihi kadar inflasi umum yang lebih rendah. Ini bermakna, walaupun harga barangan dan perkhidmatan lain mungkin tidak meningkat secara mendadak, harga makanan yang merupakan perbelanjaan asas dan terbesar bagi kebanyakan keluarga, terus meningkat.

Lebih membimbangkan, kos makanan di luar rumah menunjukkan peningkatan yang lebih ketara, mencecah 4.4% pada Mei 2025. Ini menggambarkan kenaikan kos operasi yang ditanggung oleh restoran dan kedai makan, yang kemudiannya dipindahkan kepada pengguna. Walaupun harga bahan mentah tertentu mungkin menunjukkan kestabilan, proses penyediaan dan penyajian makanan siap sedia secara langsung menjadi ia semakin mahal.

Pengecilan Subsidi Dan Langkah Negara Ke Arah Pendapatan Tinggi – Dorong Bebanan Tambahan Pengguna

Peningkatan kos makanan ini datang pada masa di mana rakyat sedang berdepan dengan pelbagai penyesuaian ekonomi. Ini meliputi beberapa pendekatan bantuan bersasar yang dilaungkan pentadbiran negara, yang sekaligus memberi kesan kepada sentimen harga di peringkat pasaran. 

Antaranya tindakan Rasionalisasi Subsidi – langkah penarikan subsidi secara berperingkat untuk barangan asas tertentu, walaupun bertujuan untuk kecekapan fiskal, secara langsung memberi kesan kepada harga pasaran. Malah melihat pada prestasi mata wang Ringgit berdepan dinamik naik-turun namun ketidaktentuan Ringgit  berbanding mata wang asing turut menyumbang kepada peningkatan kos import bahan mentah dan produk makanan, yang sebahagiannya ditanggung oleh pengguna.

Malah lebih meningkatkan lagi bebanan kos makanan ini adalah keperluan kos kesihatan turut meningkat. Di mana sektor kesihatan khususnya swasta telah memapatkan peningkatan ketara yang secara langsung menambahkan lagi tekanan perbelanjaan kepada rakyat Malaysia secara berkala. Peningkatan ini secara langsung gambaran bahawa tindakan meningkatkan elemen keperluan asas seperti kesihatan bukanlah perkara yang asing termasuklah ke atas produk makanan. Situasi ini secara jelas memberi sebab kukuh untuk pasaran melaras naik harga makanan buat semua pengguna negara.

Selain itu biarpun terdapat khabar gembira mengenai lonjakan pelaburan diluluskan (RM89.8 bilion pada suku pertama 2025) dan pertumbuhan KDNK yang stabil (4.4% pada suku pertama 2025), manfaat makroekonomi ini mungkin tidak serta-merta dirasai oleh rakyat biasa dalam bentuk kuasa beli yang lebih baik di pasar atau kedai runcit. Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dan pelarasan gaji penjawat awam mungkin membantu sebahagian kecil, tetapi ia sering kali tidak cukup untuk mengatasi kesan kumulatif pelbagai kenaikan harga.

Tahap Sekuriti Makanan Perlu Dipertingkatkan, Pacu Pelarasan Kos Masa Hadapan

Realiti yang dihadapi rakyat Malaysia menunjukkan bahawa tumpuan kerajaan bukan sahaja perlu kepada angka inflasi umum, tetapi juga kepada komponen inflasi makanan secara lebih khusus. 

Antara langkah yang harus diutamakan adalah meningkatkan sekuriti makanan – dengan melabur lebih banyak dalam pertanian tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada import dan menstabilkan harga bekalan asas. Tidak hanya itu pemantauan ke atas rantaian bekalan – seperti mengawal selia rantaian bekalan makanan dari ladang ke meja untuk mencegah pencatutan dan memastikan harga yang adil.

Seterusnya melanjutkan dan menyasarkan bantuan kewangan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, serta meneroka kaedah lain untuk mengurangkan beban kos sara hidup. Perihal ini sebenarnya sedang diusahakan oleh negara menerusi pelarasan subsidi bersasar RON95 dan pengenalan sistem PADU. Akan tetapi langkah ini dilihat kekal dalam bentuk ‘matlamat bayangan’ tanpa sebarang penjelasan kukuh akan proses pelaksanaannya kelak. Situasi ini secara langsung memberi bebanan tambahan kepada pemain industri yang mula melaras naik harga diikuti pengguna pula perlu mencatu perbelanjaan sebelum mereka benar-benar layak meraih sokongan bantuan tersebut. 


Pada akhirnya, kejayaan ekonomi negara tidak hanya diukur melalui angka KDNK atau aliran pelaburan, tetapi juga melalui kemampuan rakyat untuk menikmati kualiti hidup yang baik tanpa dibebani oleh kos asas yang semakin meningkat. Isu kos makanan yang terus membebani rakyat Malaysia adalah peringatan jelas bahawa keseimbangan antara pertumbuhan makro dan kesejahteraan mikro adalah kunci kepada kemakmuran yang lestari.