Selain meneliti keupayaan untuk mewajibkan dasar 11 tahun pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pentadbiran negara kini turut meneliti dasar mewajibkan pendidikan prasekolah ke atas penduduk negara.
Pertimbangan ini menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada laporan bersama Utusan, adalah untuk mengatasi isu keciciran murid dari peringkat awal. Adanya tumpuan tersebut, ini akan memperlihatkan penyediaan infrastruktur pendidikan yang lengkap pada sektor persekolahan di Malaysia.
Berdasarkan perancangan semasa, dasar mewajibkan pendidikan prasekolah ini akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) setelah semua premis meraih kemudahan lengkap. Ke arah persediaan itu, KPM merancang untuk meluaskan kesedaran akan kepentingan pendidikan prasekolah dan selanjutnya KPM akan meluaskan penambahan kelas prasekolah di institusi pendidikan negara.
Lebih menarik di bawah gagasan ini KPM turut ingin melaksanakan proses saringan kepada kanak-kanak – untuk mengetahui sama ada terdapat keperluas khas yang perlu dipenuhi sistem pendidikan negara sebelum kumpulan kanak-kanak ini memasuki alam persekolahan rendah. Keperluan khas ini berkaitan kumpulan kanak-kanak yang berdepan autisme, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).
Mengikut perancangan itu, dijangka dasar wajibkan pendidikan prasekolah akan diberi keutamaan pelaksanaan disusuli dasar pendidikan sekolah menegah yang dijangka akan dibentangkan pada sesi Parlimen mendatang, sekitar akhir tahun ini.