Dalam era di mana setiap klik dan tatalan menjadi penentu, syarikat minuman dan makanan global PepsiCo kini dilihat sedang giat mengukir laluan baharu untuk berhubung dengan pengguna paling berpengaruh pada masa ini iaitu Generasi Z.
Menyedari bahawa kumpulan demografi ini, terdiri daripada individu berusia awal belasan hingga pertengahan dua puluhan adalah pencetus kepada trend digital dan pembeli tegar atas talian -PepsiCo kini memaklumkan tumpuan pemasaran mereka kini lebih ke arah medium e-dagang, dengan platform media sosial seperti TikTok sebagai pemangkin utama. Maka untuk memahami tumpuan itu, PepsiCo diwakili Aditya Ahuja, Pengurus Besar Kluster PepsiCo Malaysia dan Filipina kini secara eksklusifnya berkongsikan strategi kumpulan bersama Rnggt.
E-Dagang Tonggak Baharu Pertumbuhan PepsiCo
Bermulanya krisis COVID-19, ketika itu berlakulah perubahan akan tabiat berbelanja para pengguna global termasuklah di Malaysia. Di mana krisis ini telah berjaya mempercepatkan penggunaan platform e-dagang sebagai saluran alternatif berbelanja kepada pengguna di Malaysia. PepsiCo, melalui portfolio jenama ikoniknya seperti Pepsi, Lay’s, Quaker, dan Tropicana, telah mengambil langkah proaktif untuk memanfaatkan peralihan ini.
Strategi e-dagang mereka di Malaysia bukan sekadar meletakkan produk di platform membeli-belah dalam talian, tetapi juga melibatkan integrasi yang lebih mendalam dengan ekosistem digital.
Sebagai contoh, April lalu Lay’s telah melancarkan Pek Jumbo UEFA dengan menampilkan ikon bola sepak Lionel Messi pada edisi tersebut. Ternyata koleksi ini berjaya menarik perhatian pengguna apabila meraih penglibatan masa nyata ketika siaran langsung di medium TikTok Shop. Berdasarkan data PepsiCo satu sesi siaran sahaja telah berjaya menyumbang 70% daripada Nilai Barangan Kasar (GMV) kepada kumpulan.
Tidak hanya itu berdasarkan tinjauan semasa juga PepsiCo berupaya meraih lebih 30,000 pembeli bulanan pada medium tersebut dengan rekod 25 jam siaran langsung sebulan. Prestasi ini tidak sekadar didorong hasil pemaparan produk mereka semata tetapi sokongan hasil kerjasama dalam menawarkan pelbagai ganjaran serta stategi penjualan pantas telah meningkatkan lagi permintaan kalangan pengguna negara.
Data ini jelas membuktikan betapa tingginya tindakan balas Gen Z pada produk yang menepati keperluan mereka pada tempoh tertentu di laman e-dagang pasaran Malaysia.
Gen Z Bukan Sekadar Pengguna – Mereka Adalah Komuniti Digital
Generasi Z bukan sekadar pembeli namun mereka adalah warga digital terawal yang meraih pengalaman pertama, mempelbagaikan interaktif pada arena atas talian semasa. Perihal itu secara langsung membawa kepada perubahan kepada arena ekonomi negara yang meluaskan saluran pasaran kepada pasaran digital. PepsiCo melihat Gen Z menjadi antara kumpulan yang mengutamakan nilai pembelian produk mereka tidak sekadar kualiti tetapi menuntut keperluan pembelian yang mudah diakses di platform yang mereka gunakan setiap hari. Inilah sebabnya mengapa strategi e-dagang PepsiCo beralih daripada model pengiklanan tradisional kepada pendekatan yang lebih organik, sihat dan berasaskan komuniti.
Selain Menguasai Pasaran Digital, PepsiCo Kekal Komitmen Atasi Isu Ketidakjaminan Makanan
Bagi pengguna masa ini, penawaran produk sahaja tidak memadai – ia perlulah digarapkan dengan nilai-nilai yang penting kepada pasaran semasa. Melihat pada kepentingan itu, PepsiCo di Malaysia tidak sekadar ingin mencipta perbezaan positif dalam komuniti tetapi turut ingin menyokong pilihan harian yang lebih sihat bagi mengimbangi tuntutan pengambilan snek yang lebih baik. Akan tetapi terdapat komitmen besar yang juga diberi tumpuan iaitu isu ketidakjaminan makanan di peringkat global mahupun tempatan.
Antara usaha yang telah direalisasikan adalah pada tahun 2024, PepsiCo bekerjasama dengan The Assembly Soup Kitchen (TASK) bersempena Hari Makanan Sedunia untuk mengagihkan 1,000 pek makanan kepada komuniti yang kurang bernasib baik di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur. Langkah itu dilihat memberi manfaat kepada pelajar sekolah pelarian, golongan gelandangan, dan keluarga B40.
Menurut perkongsian AdityA, usaha ini adalah sebahagian daripada misi global yang disertai kumpulan pada pasaran semasa. Berdasarkan langkah itu lebih USD 14 juta (kira-kira RM59 juta) disumbangkan kepada Program Makanan Sedunia sehingga kini.
Secara menyeluruh, PepsiCo di Malaysia sedang menggariskan strategi e-dagang yang holistik bagi memacu pertumbuhan mereka di pasaran semasa. Setakat Februari lalu, prestasi global 2024 memperlihatkan PepsiCo berjaya meraih pendapatan bersih sekitar $91.9 bilion dengan keuntungan bersih mencapai $9.58 bilion. Perolehan itu untuk makluman menjadi rekod tertinggi dalam tempoh 10 tahun. Oleh itu, dengan peningkatan prestasi tersebut dijangka pertumbuhan PepsiCo berpotensi melonjak dengan adanya tumpuan yang lebih mendalam pada penguasaan pasaran digita.