Artikel

3.16 Juta Penduduk Malaysia Kini Selesa Bekerja Sendiri

Seiring dengan perkembangan ekonomi semasa, dilihat kategori penduduk bekerja sendiri semakin meningkat – dengan rekod 3.16 juta penduduk Malaysia kini selesa bekerja sendiri merangkumi peranan selaku peniaga kecil, penjaja, peruncit, pengusaha perniagaan, pekebun kecil, pekerja gig dan sektor informal.

Berdasarkan data terbaharu Jabatan Perangkaan (DOSM) ini, jumlah tersebut telah memaparkan peningkatan secara konsisten dengan rekod April naik sebanyak 0.6% mewakili pertambahan 17,600 individu yang bertindak sertai arena bekerja sendiri. Rekod ini sekaligus membawa kepada dorongan penyusutan kadar pengangguran di Malaysia, yang ketika ini 3.0% iaitu menjadi kadar terendah dalam tempoh 10 tahun.

Dengan jumlah tersebut, pada April 2025 memperlihatkan sekitar 18.8% penduduk bekerja di Malaysia memilih untuk bekerja sendiri.

Melihat pada taburan sektor ekonomi pula, sektor Perkhidmatan menjadi antara sektor yang perlihatkan peningkatan pada penyertaan pekerja, diikuti segmen Perdagangan Borong dan Runcit, Penginapan, Khidmat Makanan dan Minuman, Pengangkutan serta segmen Penyimpanan. Malah jumlah aktiviti ekonomi turut meningkat pada sektor Pembuatan, Pembinaan, Pertanian serta Perlombongan dan Pengkuarian.