Visa, peneraju pembayaran digital global hari ini memperkenalkan inisiatif Visa Intelligent Commerce di seluruh rantau Asia Pasifik. Pengenalan ini tidak sekadar mengubah landskap perdagangan tetapi turut bertujuan menambahbaik aliran transaksiĀ lebih cekap dan teratur kepada pengguna semasa.
Buat pengetahuan umum, Visa Intelligent Commerce ialah inisiatif baharu Visa yang menyediakan set lengkap API bersepadu dan program rakan kongsi komersial kepada platform Kecerdasan Buatan (AI). Matlamatnya adalah untuk membolehkan pembangun mengimplementasikan keupayaan perdagangan pintar bersama sokongan AI Visa.

Menerusi pengumuman rasmi bersama Rnggt dan rakan media Asia Pasifik di acara Visa Media Showcase 2025 hari ini, Visa memaklumkan pihaknya sedang meneroka kerjasama inisiatif tersebut dengan tiga syarikat gergasi teknologi iaitu Ant International, Grab, dan Tencent. Kerjasama ini bertujuan untuk mengembangkan lagi sektor perdagangan pintar AI bagi menawarkan pengalaman pembayaran yang lebih selamat dan lancar kepada pengguna Visa.
Maka dengan penambahbaikan piawaian dan infrastruktur transaksi ini, Visa menjangkakan lebih banyak peluang baharu dapat diteroka oleh pengguna Asia Pasifik khususnya kalangan pemain ekonomi.