Artikel

MyLabourHub Dilancarkan – Bantu Pekerja Atasi Ketidakpadanan Kemahiran Bersama Data Menyeluruh

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) minggu ini telah melancarkan portal MyLabourHub, yang berperanan menghimpunkan pelbagai data pasaran buruh seperti dinamik permintaan pekerjaan bersama pemain portal pekerjaan, pihak berkuat kuasa dan rakan penyelidikan pasaran.

Adanya akses pintar ini, ia bertindak mengintegrasikan segala data, institusi dan teknologi kepada umum dan secara langsung memberi gambaran menyeluruh akan situasi semasa pasaran buruh di Malaysia.

Ia sekaligus memacu pembuatan dalam laksana keputusan berasaskan fakta dan data sokongan tidak hanya kepada pembuat dasar bahkan meliputi kumpulan institusi kemahiran, pemain industri berkaitan, dan membantu kumpulan pencari kerja memahami akan keperluan tenaga serta kemahiran yang harus dimiliki sebelum menyertai pasaran ekonomi negara.

Maka dengan sokongan itu, ini secara langsung akan membantu Malaysia menangani isu ketidakpadanan kemahiran bersama keperluan pekerjaan yang dikehendaki pada pasaran semasa dan mendatang. Ini juga akan membantu kumpulan pekerja meraih pekerjaan yang lebih baik dengan menambahbaik tahap kemahiran mereka.

Buat pengetahuan umum, portal MyLabourHub ini menghimpunkan lebih 101 indikator utama dan 128 indikator sokongan berkaitan penawaran serta permintaan tenaga buruh di Malaysia. Tidak hanya itu, ia turut menampilkan Kayra-GPT iaitu sokongan berasaskan AI generatif yang dibangunkan DOSM. Menerusi penampilan sokongan itu, ia sekaligus membuka era baharu buat DOSM dalam meluaskan akses penyampaian data statistik kebangsaan kepada semua pihak.