Artikel

68% Eksport Malaysia Berisiko Terkesan – Jika Tarif AS Dilaksana Julai Ini

Setelah tamatnya tempoh penangguhan 90 hari pengenaan tarif import tambahan Amerika Syarikat (AS) ke atas pasaran global, dijangka sekitar 68% daripada produk eksport Malaysia berpotensi terkesan akan pengenaan tarif tersebut jika proses rundingan tidak berjaya.

Peratusan itu menurut tinjauan TA Securities susulan kebergantungan Malaysia terhadap sektor berpaksi kepada eksport dan berikutan AS mewakili 13% daripada destinasi jumlah eksport negara.

Selain meningkatkan kos produk di pasaran AS, sektor perkilangan negara juga dijangka menampung beban yang tinggi. Ini kerana aktiviti eksport menyumbang 30% daripada pendapatan mereka dengan 20% kepada pekerjaan di pasaran tempatan. Maka ia secara langsung menjejaskan lagi kos di pasaran semasa.

Biarpun begitu, Malaysia kekal optimis keputusan tarif tersebut akan mengalami penurunan berikutan rundingan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) masih berlangsung sehingga 30 Mei ini. Sekiranya rundingan ini berupaya membawa kepada keputusan pengecualian tarif, ia disasar akan menjadi pemangkin positif buat ekonomi Malaysia – di mana sentimen pelabur dan pengguna akan meningkat dan prestasi ekonomi akan kukuh pada separuh kedua 2025.