Menjelang akhir tahun ini, dijangka pangkalan data melibatkan kumpulan peniaga kecil dan penjaja di Malaysia bakal tersedia di bawah inisiatif Jabatan Perangkaan (DOSM).
Untuk peringkat awal usaha ini dimulakan bersama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya (PENJAYA) di mana Putrajaya menjadi lokasi pertama memiliki pangkalan data penjaja dan peniaga kecil iaitu PENJAYA sebagai model rintis kepada pelaksanaan berskala nasional kelak.
Adanya platform tersebut ini akan membantu semua pihak memahami akan keperluan, permasalahan dan akses tambahan yang harus disediakan kepada kumpulan penjaja dan peniaga kecil negara. Termasuklah meluaskan akses agensi kerajaan, swasta serta badan pembangunan perniagaan untuk merangka tindakan yang lebih baik buat kumpulan kecil ini.
Berdasarkan perasmian papan pemuka PENJAYA minggu ini – didapati terdapat 1,062 penjaja dan peniaga kecil yang telah berdaftar di Putrajaya. Maka dengan data tersebut, pihak berkepentingan akan meneliti keperluan akses ekonomi yang boleh ditambahbaik untuk meningkatkan kemudahan kumpulan penjaja dan peniaga kecil. Adanya usaha ini, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi ciri pelancongan setempat susulan arena perniagaan ini berpotensi menjadi tumpuan orang awam.