Artikel

Mulai 15 Mei – Harga Beras Putih Import Turun Lagi, Sasar Kurangkan Tekanan Kos Rakyat Malaysia

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini mengumumkan pelarasan harga Beras Putih Import (BPI) di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk terus menjamin kestabilan bekalan serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Maka berkuat kuasa 15 Mei 2025 ini, harga BPI di semua gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan. 

Buat pengetahuan umum, ini merupakan pelarasan kali kedua selepas penurunan harga dilakukan pada 1 Disember lalu daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.

Pelarasan ini adalah hasil sesi libat urus bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk perkembangan pasaran global serta keperluan menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.

Jadi Mengapa Malaysia Terus Mengurangkan Harga Beras Putih Import?

Ia bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat dan menstabilkan harga beras di pasaran. Malah adanya inisiatif pengurangan harga ini ia turut membantu menampung kekurangan bekalan beras tempatan akibat faktor perubahan cuaca dan bencana alam.

Melalui penurunan harga beras putih import secara berkala ini, diharapkan masyarakat dapat membeli beras dengan harga yang lebih terjangkau, sehingga membantu meringankan beban ekonomi mereka dalam pasaran semasa.