Dikala jumlah populasi Malaysia memaparkan peningkatan dengan anggaran seramai 34.2 juta pada suku pertama 2025 – ternyata kadar kelahiran hidup di negara pula memaparkan penurunan ketara sebanyak 11.5%. Catatan ini menjadikan ia rekod terendah menurut notis Jabatan Perangkaan (DOSM).
Kadar Kelahiran Hidup – merujuk kepada kelahiran yang bernyawa semasa dilahirkan walaupun seketika.
Berdasarkan data lanjut, kadar kelahiran hidup ini memperlihatkan bilangan bayi lelaki lebih tinggi berbanding perempuan dengan 48,124 kelahiran berbanding 45,376 kelahiran. Secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 43 bayi bagi setiap jam dan 1,039 bayi sehari – sepanjang suku pertama 2025 ini.
Mengikut taburan negeri pula, Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 18,254 kelahiran (19.5%) sementara Wilayah Persekutuan Labuan pula merekodkan jumlah kelahiran hidup terendah dengan 278 kelahiran (0.3%).
Secara menyeluruh secara jelas tidak hanya Malaysia sahaja berdepan isu tren penurunan dalam kadar kelahiran dan kadar kesuburan (TFR) ini. Perihal ini turut didepani sebilangan negara antaranya Korea Selatan, Jepun, Singapura, Thailand, China dan Rusia. Isu ini turut dibebani akan kebimbangan penuaan penduduk dan penurunan tenaga kerja.

