Lebih 10,000 sekolah di seluruh Malaysia, kini disasarkan akan dilengkapi dengan kemudahan papan pintar (smartboard) – sebagai usaha meningkatkan lagi penggunaan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) pada sistem pendidikan di negara. Kelengkapan itu menurut pentadbiran disasarkan dapat direalisasi menjelang 2027.
Untuk peringkat awal, Pulau Pinang jadi negeri pertama yang mencapai 100% penggunaan papan pintar tersebut – di mana semua mewakili 396 sekolah di negeri tersebut kini telah dilengkapi peralatan pintar itu. Usaha ini telah berjaya dilunaskan hasil kerjasama persekutuan, negeri dan rakan perbankan Public Bank.
Pemerkasaan ini dilihat selari dengan matlamat Malaysia untuk melaksanakan Dasar Pendidikan Digital, yang tidak sekadar selari dengan pertumbuhan ekonomi semasa tetapi untuk memastikan lokaliti di pinggir bandar turut meraih manfaat yang sama dalam sektor pendidikan Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perihal ini tidak sekadar memerlukan sokongan dana dan kerjasama pakar teknologi tetapi turut menuntut pihak kepentingan lain seperti pemain rangkaian internet dan pihak yang bertanggungjawab dalam kemudahan asas. Ini kerana dengan ada kesepakatan bersama, penambahbaikan dalam sektor pendidikan dapat diraih oleh Malaysia secara berkala tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan pelajar.