Artikel

Inisiatif Pendigitalan Perniagaan Sedia RM1.5 Bilion – Pacu Akses Digital PMKS Malaysia

Hari ini secara rasminya Insiatif Pendigitalan Perniagaan dilancarkan bagi meningkatkan lagi akses kemahiran digital bersama peniaga di Malaysia.

Langkah Kementerian Digital bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ini adalah bertujuan menamatkan cabaran yang dialami perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan kekangan akses serta penyelesaian digital untuk kumpulan ini meluaskan pasaran perniagaan mereka seiring dengan ekonomi digital semasa.

Tegas Menteri Digital Gobind Singh, situasi ini perlu ditangani secara menyeluruh untuk memastikan perniagaan di Malaysia memanfaatkan akses digital yang telahpun tersedia di pasaran tempatan. Ini kerana, mengikut tinjauan terdapat 60% peniaga di Malaysia telah mula menyertai penerapan digital namun sokongannya hanya di peringkat asas sahaja. Ketiadaan sumber dan saluran penyelesaian digital yang baik telah menyebabkan sebilangan peniaga menangguhkan perluasan operası mereka.

Berdasarkan insiatif ini, sejumlah RM1.5 bilion disediakan bersama sokongan 11 penyedia perkhidmatan digital untuk kumpulan peniaga Malaysia. Antara rakan startegik digital yang terlibat adalah SME Corp, Maybank, TM, Boost, GXBank, TNG, Funding Societies, CapBay, CTOS Digital, Grab dan ICT Zone.