Artikel

RUU Lindungi Pekerja Yang Alami Kemalangan Di Luar Waktu Kerja – Akan Dibentang Parlimen Tahun Ini

Tahun 2024 memperlihatkan hanya 66,574 kes yang dilaporkan melibatkan bencana kerja sementara 19,955 kes (23%) pula adalah isu kemalangan yang tidak melayakkan pekerja untuk meraih faedah di bawah Skim Bencana Kerja susulan kriteria kemalangan mereka berlaku ketika di luar waktu pekerjaan.

Data di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini jelas menunjukkan masih ramai pekerja tidak memiliki hak kebajikan yang setimpal berikutan tidak menepati piawaian akta. Lebih membimbangkan, dianggarkan sekitar 54 kes kemalangan sehari dicatatkan sebagai kategori Bukan Bencana Kerja sepanjang 2024.

Memahami keperluan itu, rang undang-undang bagi melaksanakan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) kini dimaklumkan akan dibentang di Parlimen pada tahun ini.

Perincian berhubung pelaksanaan tersebut akan diteliti setelah meraih keputusan libat urus bersama pemain industri, majikan dan kesatuan pekerja. Menerusi akses ini, disasarkan perlindungan 24 jam sehari berupaya disediakan untuk kumpulan pekerja.

Buat pengetahuan umum, secara asasnya skim ini tidak akan melibatkan isu kemalangan berkaitan pekerjaan tetapo tertumpu kepada kemalangan di luar waktu pekerjaan dan kemalangan perjalanan yang tidak melibatkan pekerjaan.