Untuk menjadikan negara selaku pilihan destinasi nomad digital, New Zealand kini mengumumkan kelonggaran peraturan ke atas visa pelancong. Ini bermakna, mana-mana pelawat yang memasuki New Zealand dibolehkan bekerja sambil melancong.
Inisiatif ini secara langsung akan menjadi tarikan buat kumpulan pekerja jarak jauh khususnya bahagian teknologi untuk memanfaatkan New Zealand sebagai lokasi pekerjaan mereka.
Malah Kementerian Pertumbuhan Ekonomi NZ melihat usaha ini akan membawa kepada tempoh pelancongan yang lebih lama buat kalangan pelawat dan tindakan itu akan meningkatkan aliran perbelanjaan di negara mereka. Dan untuk makluman umum, ketika ini pelancongan menjadi penyumbang eksport kedua terbesar di NZ di mana telah menjana hampir 11 bilion dolar NZ dan berjaya mewujudkan hampir 200,000 pekerjaan di pasaran.
Sebagai perincian, kelonggaran peraturan visa itu akan membolehkan individu bekerja secara jarak jauh untuk majikan luar negara semasa pelawat bercuti di New Zealand. Namun pada kumpulan pelawat yang miliki hasrat untuk bekerja secara jarak jauh melebihi 90 hari berpotensi dikenakan caj percukaian.
Dan semua pelawat diberi peringatan, kelonggaran ini hanya terpakai untuk kumpulan pelawat yang bekerja secara jarak jauh dengan majikan luar negara sahaja. Sekiranya tugasan pekerjaan pelancong memerlukan mereka berada di New Zealand maka akses visa sepenuhnya harus dimiliki oleh mereka.