Landskap pasaran pekerjaan di Malaysia diperhatikan semakin berkembang berikutan kadar upah dalam sektor formal kini telah meningkat 5.6% – dengan rekod purata gaji RM2745 pada September 2024 lalu.
Perkembangan ini turut memaparkan pertambahan jumlah pekerja dalam sektor formal negara – di mana untuk warganegara telah meningkat, mencapai 6.82 juta pekerja meningkat 2.1%. Mengikut taburan jantina, pekerja lelaki telah meraih median upah bulanan sebanyak RM2,782 sebulan manakala pekerja wanita pula RM2,700. Kedua-dua kumpulan ini menunjukkan peningkatan upah penengah sebanyak 5.2% (lelaki) dan 7.2% (wanita).
Sementara taburan usia pula memperlihatkan kumpulan pekerja berusia 45 tahun hingga 49 tahun menjadi kumpulan pekerja yang miliki gaji penengah tertinggi bagi 22 bulan berturutan sejak Disember 2022. Kedudukan ini bagaimanapun berbeza dengan kumpulan pekerja berusia bawah 20 tahun yang menerima gaji penengah terendah iaitu RM1,500 – kekal tidak berubah sejak Jun 2022.
Buat pengetahuan umum, berlandaskan aspek upah – didapati 32% pekerja formal warganegara direkodkan menerima gaji penengah bulanan bawah RM2,000 setakat September 2024. Biarpun jumlah ini masih melepasi 2 juta pekerja namun pengurangan 2.6% telahpun berlaku berbanding data 2023.
Secara menyeluruh, gaji penengah bagi setiap negeri di Malaysia terus perlihatkan perkembangan positif dengan 3 negeri memaparkan paras gaji penengah lebih tinggi berbanding paras nasional – antaranya Kuala Lumpur (RM3,964), Selangor (RM3,000) dan Pulau Pinang (RM2,800). Sebaliknya 3 negeri pula didapati terus berdepan kadar gaji penengah yang terendah dalam pasaran negara iaitu Kelantan (RM1,682), Perlis (RM1,682) dan Sabah (RM1,882).
