Artikel

Kementerian Komunikasi: TikTok, FB, Telegram Jadi Antara Medium Paling Aktif Digunakan Scammer

Zaman sekarang semua perkara dilihat menjadi lebih mudah, tidak sekadar mendapatkan maklumat mahupun barangan keperluan tetapi aktiviti penipuan juga mudah berlaku khususnya pada medium media sosial seperti TikTok, FB, Whatsapp dan Telegram yang menjadi platform utama sering digunakan para pengguna Malaysia.

Kementerian Komunikasi pada perkongsian makluman itu menjelaskan, tahun 2023 merekodkan sejumlah RM500 juta kerugian telah dicatatkan kesan aktiviti penipuan yang dijalankan pada platform tersebut. Biarpun langkah sekatan telah dilaksanakan masih terdapat ruang untuk penipu memanipulasi kumpulan pengguna.

Antara tindakan yang digunakan kumpulan scammer ini adalah memautkan pautan pada akaun media sosial tertentu dengan pemaparan maklumat yang tidak tepat. Sebagai contoh menggunakan info bantuan untuk menggalakkan orang awam menekan butang pautan palsu tersebut. Dan di sinilah bermulanya risiko pendedahan maklumat peribadi pengguna berlaku.

Maka langkah lanjutan perlu disegerakan, antaranya selari dengan matlamat kementerian ketika ini untuk menganjurkan kempen keselamatan siber di peringkat sekolah Malaysia tidak lama lagi.

Menerusi pendedahan awal ini, pendekatan penyampaian kempen keselamatan siber tersebut akan menyentuh pelbagai aspek – ini bermakna tidak sekadar menyentuh medium media sosial tetapi pendekatan melindungi maklumat diri dalam arena digital.