Setelah 20 tahun berkhidmat bersama CIMB, merentasi pelbagai peranan perbankan termasuklah kewangan digital bersama Touch ‘n Go – kini Effendy Shahul Hamid dimaklumkan meletak jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Perbankan Pengguna dan Digital Kumpulan CIMB.
Peletakan jawatan ini menurut notis CIMB, adalah antara langkah Effendy untuk meneroka pengalaman pada industri baharu.
Biarpun kelak tidak lagi menjawat peranan tersebut, CIMB memaklumkan Effendy akan kekal selaku Penasihat kepada CEO Kumpulan sehingga akhir Jun 2025 ini. Selanjutnya, difahamkan beliau juga kan melepaskan jawatannya dalam Lembaga Pengarah syarikat-syarikat CIMB Group, termasuk sebagai Pengerusi TNG Digital dan ahli Lembaga Pengarah di Touch ‘n Go Sdn Bhd serta CIMB Vietnam.
Selain pengumuman itu, CIMB turut akan melaksanakan penyusunan semula pada sebahagian pengurusan operasi. Antaranya dengan melantik beberapa pimpinan peringkat kanan baharu pada 1 Februari kelak.