Artikel

IFC Bersama Konsortium 6 Institusi Kewangan Global – Kini Sedia $900 Juta Biaya Pusat Data Yondr Di Malaysia

Pembangunan pusat data di Malaysia terus memperlihatkan perkembangan yang menarik – apabila Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) dan konsortium melibatkan 6 institusi kewangan antarabangsa yang lain menzahirkan komitmen mereka untuk menyediakan lebih $900 juta bagi membiayai kampus pusat data Yondr Group di Malaysia

Pusat data hiperskala yang bertempat di Johor Bahru itu untuk makluman akan menyediakan kapasiti teknologi yang luas dengan menyokong permintaan pada pemprosesan data di rantau ini. 

Menurut kenyataan IFC hari ini, pelan pembiayaan sehingga $150 juta untuk projek Yondr telahpun dicapai pada Mei 2024 lalu dan kini untuk pembiayaan fasa seterusnya akan memperlihatkan penyertaan 6 institusi kewangan antarabangsa antaranya DBS, Deutsche Bank, Global Infrastructure Partners, HSBC, ING dan Natixis. 

Buat pengetahuan umum IFC adalah institusi pembangunan global, yang juga merupakan sebahagian ahli Kumpulan Bank Dunia – di mana pihaknya memberi fokus kepada sektor swasta di pasaran sedang membangun. Setakat ini sahaja, kerjasama telah dilaksana bersama lebih 100 buah negara dan untuk tahun 2024 sahaja sejumlah $56 billion dana telah diperluas kepada firma persendirian dan institusi kewangan di negara membangun untuk pembangunan ekonomi semasa.