Grab, aplikasi sehenti yang menyediakan pelbagai kemudahan perkhidmatan merangkumi arena pesanan makanan, penghantaran barang serta pengangkutan kini mengumumkan perluasan kerjasama dengan Amazon Web Services (AWS) selaku penyedia teknologi awanan utama operasi mereka.
Kesepakatan ini sekaligus akan perlihatkan matlamat Grab untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan mereka bersama infrastruktur awanan AWS – antaranya penerapan sokongan AI Generatif, pembelajaran mesin (ML) AWS serta perkhidmatan Amazon Elastic Kubernetes.
Sokongan itu secara langsung akan meningkatkan peranan perkhidmatan Grab dengan mengoptimumkan laluan masa nyata, pemaparan cadangan pilihan serta menjejaki sebarang aktiviti penipuan.
Untuk makluman, Grab kini menawarkan khidmat kepada 41.9 juta pengguna aktif secara bulanan, disusuli, 13 juta pula adalah rakan pemandu dan penghantaran. Menerusi komitmen itu, bersama infrastruktur AWS ini akan membantu Grab dalam menyesuaikan perkhidmatan restoran serta penawaran produk yang khusus buat pengguna.
Menerusi perluasan skala teknologi antara Grab dan AWS, dijangka ia akan mengukuhkan kecekapan operasi di pasaran 8 negara serantau iaitu Malaysia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam pada masa hadapan.