Artikel

Persatuan Insurans, BNM Masih Berbincang – Teliti Isu Kenaikan Harga Pelan Perubatan Di Pasaran

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) kini menyelar pemberitaan yang memaklumkan pihaknya ada menyatakan tiada kenaikan serta-merta berhubung isu peningkatan kadar premium pelan perubatan dan takaful (MHIT) di pasaran negara sekitar 40% sehingga 70% ketika ini. 

Menurut LIAM, pihaknya bersama Bank Negara Malaysia (BNM) masih dalam perbincangan bagi meneroka pendekatan terbaik untuk meringankan beban pemegang polisi berikutan peningkatan dalam tuntutan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak beberapa tahun lepas.

Untuk makluman, kesan inflasi kos tuntutan perubatan yang mencapai 56% bagi tempoh 2021 sehingga 2023 – dilihat telah membawa tekanan kepada pengendali insurans di pasaran semasa. Situasi itu telah menjejaskan buku perniagaan perubatan mereka. 

Buku perniagaan perubatan adalah pangkalan data atau buku yang menyenaraikan semua polisi insurans yang telah dikeluarkan oleh syarikat insurans.

Tidak hanya itu, kenaikan kos penjagaan di hospital swasta bersama lonjakan bilangan pemegang polisi yang mendapatkan rawatan turut mendorong kepada tindakan peningkatan kadar premium pada pelan perubatan semasa. 

Namun pihak persatuan memahami akan kegusaran yang disuarakan oleh kumpulan pemegang polisi. Meskipun perbincangan masih lagi dilaksanakan, ketika ini pengendali insurans kekal proaktif dengan memberikan pilihan penyelesaian terbaik bersama pengguna, bagi memastikan kesinambungan polisi dapat dicapai selari dengan kemampuan pengguna.