Menyedari ramai pelajar terkesan disebabkan musim tengkujuh, terutamanya kalangan pelajar Tingkatan 5 yang akan lalui peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi – Kementerian Pendidikan (KPM) kini memaklumkan akan laksana penelitian berhubung cadangan pertukaran tempoh SPM, di luar musim tengkujuh.
Seperti yang umum ketahui, pelaksanaan SPM ketika ini adalah pada setiap penghujung tahun dan berpotensi berdepan isu banjir.
Jelas KPM usul tersebut akan diteliti, diperhalusi dan dibincangkan bersama pihak berkepentingan kelak bagi meningkatkan kecekapan sistem pendidikan di masa hadapan.
Seperti yang umum ketahui, bermula hari ini (2 Disember) sehingga 5 Disember berlangsungnya Ujian Bertutur Bahasa Melayu. Diikuti Ujian Amali Sains pada 9 hingga 12 Disember manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 16 hingga 19 Disember.
Manakala ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula dijadualkan pada 31 Disember seterusnya Peperiksaan Bertulis dijadualkan pada 2 Januari hingga 6 Februari 2025.
Menerusi penjadualan itu, difahamkan seramai 402,956 calon SPM akan terlibat pada tahun ini.