Artikel

Inflasi Malaysia Naik 1.9% – Semua Negeri Terus Berdepan Tekanan Kos Makanan, Minuman

Indeks Harga Pengguna (IHP) yang juga penanda kepada paras inflasi negara, kini memperlihatkan peningkatan 1.9% pada Oktober 2024 berbanding 1.8% pada September lalu.

Kenaikan kecil ini menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) didorong hasil peningkatan dalam kumpulan utama Makanan dan Minuman (2.3%), Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan Perkhidmatan (3.4%). Manakala segmen Restoran dan Perkhidmatan Penginapan juga naik 2.8%, diikuti Rekreasi, Sukan dan Kebudayaan (2.0%), Kesihatan (1.4%), Pengangkutan (0.7%) dan Hiasan, Perkakasan, Penyelenggaraan Isi Rumah (0.5%).

Berdasarkan inflasi Makanan dan Minuman – segmen makanan dirumah telah meningkat kepada 0.6% disebabkan perbelanjaan daging meningkat kepada 1.4%, diikuti sayuran dan bijirin. Malah segmen makanan di luar rumah juga turut meningkat kepada 4.1% berbanding 2.8% pada September lalu. Situasi itu didorong peningkatan kos lebih tinggi pada makanan Piza (39.3%), Masakan Ikan (3.1%), Masakan Ayam (3.1%) dan Kuih-muih (1.2%).

Sementara mengikut taburan negeri pula, kebanyakannya merekodkan paras inflasi lebih rendah berbanding paras inflasi nasional 1.9%. Namun inflasi sebilangan negeri pula dilihat lebih tinggi antaranya Pulau Pinang (3.1%), Pahang (2.7%), Selangor (2.3%) dan Sarawak (2.1%).

Pada taburan ini turut memperincikan semua negeri masih berdepan peningkatan paras inflasi Makanan dan Minuman dengan antaranya Selangor kadar tertinggi (3.8%), Putrajaya (2.9%), Johor (2.4%), Pulau Pinang (2.4%) dan Pahang (2.3%).

Walaupun peningkatan inflasi ini lebih kecil tetapi ia secara langsung turut memberi tekanan kepada pengguna negara – khususnya ke atas kumpulan berpendapatan bawah RM3,000.

Ketika ini kumpulan tersebut berdepan paras inflasi 1.7%, antaranya disumbang kesan kenaikan kos pada Restoran dan Perkhidmatan Penginapan (3.9%), disusuli kos Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api (3.0%) dan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial serta Perkhidmatan lain pula 2.9%.

Untuk taburan mengikut negara terpilih pula, Malaysia lebih rendah berbanding Vietnam (2.9%) dan Filipina (2.3%). Manakala inflasi lebih tinggi berbanding Indonesia (1.7%), Republik Korea (1.3%), Thailand (0.8%) dan China (0.3%).