Artikel

Malaysia Sasar 400,000 Kenderaan xEV Tersedia Di Jalan Raya – Menjelang 2030

Dalam usaha meningkatkan keyakinan pengguna akan kenderaan elektrik (EV), kerajaan kini menyasarkan kenderaan jenis berkuasa elektrik (xEV) yang meliputi Hybrid, Plug-in Hybrid, Battery Elektric Vehicle (BEV) dan Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) akan meraih peningkatan secara berkala.

Setakat September 2024 sahaja, kadar jumlah jualan tahunan yang dicapai pada kategori ini adalah sekilar 5.11% iaitu mewakili 33,319 unit. Sementara kadarnya pada 2023 pula ialah 4.12% atau 35,723 unit.

Melihat pada aliran pencapaian ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan jumlah terkumpul xEV yang berada di jalan raya berupaya mencapai sekurangnya 400,000 unit kenderaan penumpang dan perdagangan menjelang tahun 2030 kelak.

Berdasarkan anggaran perkembangan itu, MITI telah mengadakan beberapa siri libat urus bersama syarikat konsesi lebuh raya, rangkaian pasaraya, persatuan gedung beli-belah, serta persatuan hotel bagi mengalakkan premis sedemikian menyokong khidmat pengecas awam EV untuk keperluan pengguna di masa hadapan.